MEMINGGIRKAN JANJI
(Rinizan Razali)
Teman akrabku
Kau kata bangga dengan bangsa ini
Kau lafaz kan erti merdeka padaku
Kau baitkan cahaya optimis dari sinar matamu
Kau ceritakan impian hari muka kepadaku
Teman akrabku
Aku merintih hiba dalam hidup ini
Aku diam membisu bila bicara erti merdeka
Aku kunci rapat diriku dalam ruang kaca
Aku padamkan impianku di depan khalayak
Teman akrabku
Ku lihat janji kepada Rasul kian longgar
Ku sedar ikatan rapat kepada Tuhan bagaikan longgar
Ku lihat cara kita
Ku nampak adat warisan pun terpadam sama
Ku lihat senyuman lalu semuanya pudar
Teman akrabku
Zaman agung lalu dihiasi dengan ilmu memenuhi rumah Tuhan
Zaman itu kita berdiri yakin menolak mungkar
Zaman itu penuh air mata disujud mengadap Tuhan
Zaman itu pengharapan bernilai sekali
Teman akrabku
Kini semua sibuk berpesta
Rumah Tuhan kita sunyikan kecuali matahari tinggi pada Jumaat
Kita hiburkan diri kita saban masa
Berpeleseran tunjukkan erti cinta
Kita terus bergelak ketawa walhal kita lingkup
Kita katakan harapan sedangkan individualisme yang kita binakan
Teman akrabku
Aku jauh dari mimpiku
Sewajarnya dikau pun sama
Tetapi kita ini dibezakan
Dengan angkuh pendirian kita
Teman akrabku
Aku sesak kerana meminggirkan janji
Aku lemas kerana janji tiada terkota
Aku tiada bisa menghormatimu lagi
Teman akrabku
Haluan kita berbeza mudik di sini
Aku memilih merenung janjiku
Biar dikau meminggir janjimu
Aku memilih sunyi sepi
Sekalipun dikau memilih temasya masyhur
Teman akrabku
Ku serah diri menghadap takdir Tuhan
Kelak bala akan turun
Tiada terelak lagi bagi kita
Semuanya kerana janji kita pinggirkan
Ampunkan kami wahai Tuhan...........
No comments:
Post a Comment