Alhamdu Lillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas segala rahmat, nikmat dan hidayahNya yang dikurniakan kepada kita semua, dapat kita menyambut hari yang sangat bersejarah dalam keadaan aman dan penuh kesejahteraan. Sambutan Maulidur Rasul sangat besar ertinya dalam kita menghayati dan merenung betapa besar jasa dan pengorbanan Rasulullah SAW menegakkan Kalimah Tauhid serta menyampaikan amanahNya.
Lahirnya Baginda membawa rahmat untuk sekalian alam dan menjadi contoh tauladan kepada seluruh manusia. Baginda adalah guru tempat kita merujuk kerana pada diri Baginda terdapat banyak contoh nilai-nilai budi pekerti yang mulia. Sifat-sifat sedemikian wajiblah menjadi ikutan agar kesucian serta kemuliaan Agama Islam akan terus terpelihara dan tidak akan dipersoalkan oleh sesiapa.
Namun, apa yang mendukacitakan sejak kebelakangan ini terdapat pihak-pihak yang mula mempersoal dan menyentuh perkara-perkara yang berhubungkait dengan Agama Islam. Lebih mengeruh serta menyedihkan ialah apabila Junjungan Agung Nabi Muhammad SAW diimejkan dalam bentuk ‘kartun’, menjadi bahan gurauan dan dihina sedemikian rupa.
Sebelum kita menunding jari dan mencari siapa pengkhianat, marilah kita muhasabah diri, merenung sejauh mana penghayatan kita terhadap Agama Islam yang suci ini. Bermula dari penghijrahan Rasulullah 1427 tahun yang lampau hinggalah ke hari ini, kita kaji dan semak semula sejarah kegemilangan serta keagungan zaman para sahabat, tegaknya kerajaan Islam yang gagah serta tamadun yang hebat.
Hari ini, segala kelemahan, kekurangan, kemunduran dan apa juga yang negatif dikaitkan dengan Islam. Kita tidak lagi dihormati dan digeruni. Bukan setakat kita tidak ditakuti lagi kerana tiadanya kekuatan ketenteraan dan ekonomi tetapi kita juga dipandang rendah kerana kurangnya kecemerlangan dan kesungguhan dalam menguasai ilmu pengetahuan.
Justeru, bermula dari diri sendiri, marilah sama-sama kita insafi akan segala kelemahan, kesilapan serta kekurangan. Saya menyeru kepada semua ahli Silat Cekak khususnya supaya beramal dengan apa yang telah ditinggalkan oleh Rasullullah SAW kepada kita semua. Sebagai tanda kasih, perbanyakkanlah berselawat ke atas Baginda sekurang-kurangnya 40 kali selepas solat Maghrib malah sebaik-baiknya 100 kali.
Ingatlah akan pesanan guru kita iaitu AlMarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad bahawa Silat Cekak ini mempunyai matlamat dan falsafahnya yang tersendiri. Kita bukan untuk menunjuk gagah, hebat ataupun kuat tetapi silat sebagai wasilah untuk membentuk dan mendidik manusia supaya menjadi sorang insan yang sempurna selaras dengan hasrat dan perancangan kerajaan yang kini ke arah pembangunan modal insan.
Di kesempatan yang mulia ini, saya menyeru kepada semua ahli untuk sama-sama kita menjayakan upacara Majlis Penutup Sambutan Perayaan 40 Tahun Jubli Delima Silat Cekak yang akan kita adakan di Bandaraya Ipoh, Perak Darul Ridzuan pada 17 dan 18 Jun 2006. Setelah setahun kita merayakannya bermula dari 18 Jun 2005 yang lalu kini sampai detik dan ketikanya.
Pada Majlis Konvokesyen kali ini, seramai 78 orang akan menerima Sijil Menengah dengan memakai jubah khas konvokesyen dan 600 orang akan menerima Sijil Rendah. Selain diadakan Sambutan Hari Tenaga Pengajar, Makan Malam dan Mesyuarat Agung Perwakilan, kita juga akan adakan Demonstrasi Silat Cekak yang akan melibatkan hampir 2500 orang. Kita juga akan melancarkan sebuah buku bertajuk ‘Keaslian Budaya Membina Bangsa’ dan video korporat PSSCM oleh tetamu kehormat pada hari tersebut.
Oleh itu, kepada ahli-ahli Silat Cekak marilah kita bersama menjayakan upacara yang bersejarah ini. Tanpa sokongan dari semua majlis yang kita rancangkan tidak akan berjaya. Kita berdoa semuga dipermudahkan segala urusan dan dianugerahkan nikmat kesihatan yang baik agar kita semua dapat hadir di Perak nanti.
Selamat Menyambut Maulidur Rasul, semoga dikurniakan rezeki yang baik serta kesejateraan hidup sepanjang masa. Salam hormat dan takzim dari saya, isteri dan ahli keluarga semua.
Sekian, Wassalam.
YM Tuan Haji Ishak bin Itam
No comments:
Post a Comment