July 31, 2009

tazkirah jumaat

di hari Jumaat ni, ciksarah nk bagi tazkirah utk diri ciksarah sendiri :)

---

Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.

Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :

- Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
- Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :

Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )

Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .

Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

Redha Dengan Qada' :

Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :

" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :

Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Demi Allah yang jiwaku di tangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )

Redha Dengan Rezeki Yang Ada :

Di dalam konteks redha pada menerima ketentuan Ilahi, juga termasuk redha ( qana'ah ) menerima rezeki yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. banyak atau sedikitnya.Di dalam sifat qana'ah dengan pemberian Allah itu terdapatnya mutiara kebahagiaan bagi orang mukmin.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
" Sungguh berbahagialah orang yang masuk Islam , rezekinya sederhana dan berhati puas ( qana'ah ) menerima segala pemberian Allah ".
( Riwayat Muslim )

Dan Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
" Berbahagialah siapa yang ditunjuki ke dalam Islam, penghidupan yang sederhana dan qana'ah ( merasa dengan pemberian Allah ".
( Riwayat Tirmidzi )

Merasa cukup , puas dan redha menerima rezeki yang dianugerahkan Allah s.w.t. termasuk kekayaan rohani yang tidak ternilai harganya.


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Bukannya kekayaan itu kerana banyaknya harta, kekayaan yang sebenarnya ialah kekayaan jiwa ".
( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Mengharapkan Redha Ilahi :

Sebagaimana mahabbah bertujuan agar memperolehi kasih dan cinta Ilahi maka demikianlah juga sifat redha bertujuan memperolehi redha Ilahi .

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepadanya, yang demikian itu bagi orang yang takut kepada Tuhannya ". ( Al-Bayyinah : Ayat 8 )

Dan firman Allah s.w.t. lagi tentang orang-orang yang membelanjakan harta semata-mata untuk memperolehi keredhaan Allah s.w.t. yang bermaksud :

" Mereka yang menafkahkan hartanya kerana ingin jadi bersih. Padahal tiada padanya budi yang patut dibalas. Melainkan semata-mata kerana hendak mencari keredhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi. Dan Tuhannya pun redha kepadanya". ( Surah Al-Lail : Ayat 18-21 )

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
" Bila Allah cinta kepada sesuatu kaum, mereka akan diuji . Barang siapa redha menerima ujian maka redha pula kepadanya dan barang siapa yang murka, maka Allah s.w.t. pun murka kepadanya".
( Riwayat Tirmidzi )

Redha Kepada Keluarga Dan Anak-Anak
Redha kepada keluarga dan anak-anak yang merupakan amanah yang wajib dipikul oleh setiap individu Muslim yang mana redha dan sabar perlu seiring di dalam membentuk baitu Muslim dan generasi Rabbani yang memerlukan suatu pengorbanan yang besar.

Begitu juga bagi anak-anak di dalam menghormati ibubapa seperti yang disebutkan di dalam sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibubapa ".
( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Dan Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepada Ibnu Abbas r.a. :
" Jika kamu sanggup beramal kerana Allah dengan redha berserta yakin maka lakukanlah. Tetapi jika kamu tidak sanggup , maka sesungguhnya kesabaran atas sesuatu yang tidak menyenangkan itu ada kebaikan yang banyak".

Redha Membawa Nikmat dan Bahagia
Redha Ilahi yang diperolehi orang yang redha kepada Allah s.w.t. itulah nikmat dan merupakan kunci kebahagiaan yang sejati .Sesiapa yang diredhai Allah s.w.t. , pastilah dia akan diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat . Lalu mereka akan dimasukkan ke dalam syurganya dan kekal di dalamnya untuk selama-lamanya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Wahai jiwa yang tenang dan tenteram kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Iaitu masuklah ke dalam golongan hambaku ( yang soleh ). Dan masuklah ke dalam syurgaku".
( Surah Al-Fajr : Ayat 27-30 )

Berkat redha itulah maka di dunia akan mendapat ketenangan jiwa dan di akhirat akan memperolehi kebahagiaan yang kekal untuk selama- lamanya. Redha mengakui bahawa Allah s.w.t. sebagai Tuhan yang disembah, Islam sebagai Agama yang benar dan Rasulullah s.a.w. sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir , maka itulah asas kemanisan iman yang membawa erti yang besar dan keuntungan yang besar bagi orang yang redha kerana merasakan kelazatan rohani.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Merasakan kemanisan iman , siapa yang redha dengan Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama Muhammad sebagai Rasul ( Utusan ) ".
( Riwayat Muslim )

Rujukan Dari : Taqarrub Kepada Allah dari sini.

---

astaghfirullaah al 'aziim, innahu kaa na ghaffaaraa...

2 comments:

Kencana21 said...

kan bagus hati kita ni dpt redha ngan sume hal,tanpa ada pertikaian skitpun....

Wid Shualdi said...

Redha menerima kesenangan sudah pasti (sape yg x suke kesenangan), yang susahnya nk mendidik hati untuk redha bila ditimpa kekecewaan & kesedihan. Di mulut berkata aku redha tapi di hati masih kusut & celaru. Hati ini sedang cuba memahami erti redha yg sebenar2nya...